Monday, 15 October 2012

Pelajar UiTM kini pelopor sukan rakit arus deras

UiTM - rakit arus derasSUKAN rakit arus deras merentasi jeram-jeram berbatu-batan serta laluan sempit dengan arus sungai yang deras dan ganas di Sungai Sedim, Kulim, Kedah sekali lagi menjadi cabaran getir buat hampir 80 siswa-siswi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pertarungan untuk bergelar jaguh rakit arus deras ini menerusi edisi kedua UiTM Jati Descent Challenge 2012 yang berlangsung pada 28 hingga 30 September lalu.

Hujan beberapa hari sebelum perlumbaan menyaksikan aras air dan arus sungai yang lebih tinggi dan bergolak serta menanti jeram-jeram yang kelihatan menyeramkan.

Namun, bagi siswa-siswi UiTM, cabaran ini amat dinanti-nantikan mereka terutama yang telah merasai pengalamannya pada edisi sulung tahun lalu.

Kejayaan siswa-siswi UiTM pada edisi lalu menyaksikan ada antara mereka terpilih mewakili pasukan rakit arus deras negara beraksi dalam siri perlumbaan Persekutuan Rakit Antarabangsa (IRF) di Acheh, Indonesia.

Cabaran kali ini jelas menunjukkan peningkatan ketara daripada pelbagai aspek termasuklah teknik serta kemahiran berakit yang dipamerkan siswa-siswi UiTM.

Bakat dan keberanian siswa-siswi UiTM dalam sukan berakit (inflatable raft) ini semakin menambat hati Presiden Persatuan Rakit Arus Deras Malaysia, Razali Mohamad Saad.

Menurutnya, siswa-siswi UiTM akan dijadikan asas pembentukan atlet khusus dalam sukan ini tanpa perlu bergantung lagi kepada atle t daripada sukan mendayung bagi mewakili negara.

Kehadiran Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM, Professor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said sebagai pelepas pada saingan ujian masa menggambarkan betapa UiTM menyedari bahawa biarpun sukan ini berisiko tinggi, namun terlalu banyak kelebihan dari aspek sains sukan serta rohani dan jasmani yang boleh diperolehi semua pihak menerusi penganjurannya.

Edisi kedua UiTM Jati Descent Challenge tahun ini semakin mencabar menerusi format baru kerana setiap pasukan perlu bersaing pada cabaran ujian masa sebelum melayakan diri ke perlumbaan akhir.

Cabaran dengan laluan 2.4 kilometer merentasi 10 buah jeram dengan jeram paling mencabar di klasifikasikan pada tahap 4 iaitu di elbow fall dan kiss drop yang dikatakan agak berbahaya.

Namun, berbekalkan prosedur keselamatan yang begitu dititikberatkan oleh penganjur Kolej Kediaman Jati bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Majlis Pengetua-pengetua Kolej UiTM dan dengan nasihat konsultan acara iaitu Rapidfire dan Tree Top Walk, edisi kedua berjalan dengan lancar.

Paling membanggakan apabila acara ini buat kali kedua turut mendapat sokongan dan liputan TV3 yang turut bersama di sepanjang acara.

Pada akhir perlumbaan menyaksikan pasukan tuan rumah Kolej Jati muncul juara bagi kategori lelaki sekaligus merangkul trofi dan hadiah tunai RM1,000.

Manakala bagi kategori wanita kejutan berlaku apabila pasukan pilihan Kolej Non-Resident tewas kepada Kolej Delima.
Petikan:  sinar harian 15Okt.2012.

No comments:

Post a Comment