Monday, 15 October 2012

Climbathon


KUNDASANG - Sabah akan menimbang untuk memperkenal laluan baharu yang menggabungkan laluan ke puncak gunung dan laluan pengembaraan bagi acara Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu pada masa akan datang.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ellron Alfred Angin, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur, berkata perkara itu akan dibangkitkan pada mesyuarat bedah siasat tidak lama lagi.
"Saya rasa ia idea yang baik. Tujuan menggunakan laluan pengembaraan ialah untuk memberi peluang kepada peserta menghayati persekitaran di Gunung Kinabalu, di samping memberi peluang kepada pelari tempatan menyertai perlumbaan ini.
"Bagaimanapun, kami akan lihat jumlah peserta yang mahu laluan ke puncak gunung digunakan semula. Mungkin, kami akan beri peluang kepada peserta memilih laluan perlumbaan yang mereka suka," katanya ketika ditemuai pada garisan penamat Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu di sini, hari ini.
Selama 25 tahun, laluan Climbathon meliputi laluan ke puncak sejauh 4,095 meter, sebelum ia ditamatkan tahun lepas untuk memberi jalan kepada penggunaan laluan pengembaraan, yang merentasi Layang-Layang Hut pada ketingian 2,760 meter sebagai tempat paling tinggi, dengan ditambah jarak dua kilometer lagi sebagai laluan perlumbaan.
Beberapa pelari menyuarakan perasan tidak puas hati tentang penggunaan laluan baharu dan meminta penganjur menggunakan kembali laluan lama, termasuk laluan ke puncak gunung.
Juara bertahan Kilian Jornet Burgada dari Sepanyol, yang mencatat masa 2'11:42s untuk mengekalkan gelaran juara dengan mengatasi pelari Nepal Aite Tamang (2'15:10s) dan pelari Jepun Miyahara Toru (2'15:13s), berkata laluan baharu terlalu teknikal dan tidak begitu mencabar.
Pelari Sweden Emelie Forsberg yang pertama kali menyertai perlumbaan ini dan muncul juara bagi kategori terbuka wanita dengan catatan masa 2'38:34s pula melahirkan kekagumannya tentang keindahan pemandangan dari puncak gunung berkenaan.
"Laluan ini pun tak mengapa. Tapi, lebih elok jika ia menuju ke puncak seperti sebelum ini," katanya yang membuat tinjauan di laluan lama semalam.
Pemenang tempat ketiga dan kali kedua menyertai perlumbaan ini, Nuria Picas Albets dari Sepanyol, berkata dia juga tidak seronok menggunakan laluan baharu.
Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi kategori lelaki dan wanita masing-masing menerima hadiah RM8,000, RM6,000 dan RM5,000.
Sementara itu, pelari Malaysia Danny Kuilin Gongot, juara tahun lepas, menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 3'17:03s.- Bernama

No comments:

Post a Comment