Saturday, 29 December 2012

TMJ: 'Keputusan semalam bukan jawapan'

KEGAGALAN pasukan Johor Darul Takzim yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang menjuarai kejohanan jemputan empat penjuru Piala Tunku Mahkota Johor semalam tidak menggambarkan kemampuan sebenar pasukan itu.
   
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), kejohanan itu lebih merupakan aksi pemanas badan pra-musim bagi menghadapi Liga Super pada musim depan.
   
"Ini adalah pramusim, kami memasukkan beberapa pemain dan menguji formasi baru. Semalam bukan jawapan. Jawapan lebih memberi gambaran dan ia akan bermula pada 8 Januari 2013 dan sepanjang musim," katanya hari ini.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pasukan Johor Darul Takzim dan Johor serta jersi pasukan masing-masing di Plaza Angsana, di sini.

Dalam perlawanan akhir kejohanan empat penjuru itu semalam, pasukan Johor Darul Takzim yang dibarisi pemain seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim dan bekas pemain kebangsaan Sepanyol, Daniel Guiza, tewas 1-2 kepada pasukan Johor.
   
Pasukan Johor di bawah kendalian jurulatih Azmi Mohamed akan beraksi pada Liga Premier musim depan, manakala Johor Darul Takzim yang dilatih Fandi Ahmad pula bakal bersaing di dalam Liga Super.
   
Pasukan Johor Darul Takzim turut dibarisi pemain kebangsaan termasuk Aidil Zafuan dan Zaquan Adha, Azmi Muslim serta bekas pemain kelab Lazio, Simone Del Nero.
   
Menurut Tunku Ismail, kejohanan empat penjuru yang turut disertai Pahang dan kelab Singapura, Woodlands Wellington, lebih merupakan aksi pemanas badan dan bertujuan menghiburkan penyokong Harimau Selatan itu.
   
"Kita kena faham bahawa walaupun pasukan kita mempunyai nama-nama besar, tetapi kita tidak semestinya kena memang 6-0 pada semua perlawanan. Di dalam bola sepak, adakala kita menang dan adakala kita kalah," katanya.
   
Bagaimanapun, beliau amat gembira Johor kini mempunyai dua pasukan kuat di dalam saingan Liga Super dan Liga Premier.
   
Pada majlis yang turut dihadiri pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Nur Jazlan Mohamed itu, beberapa syarikat tampil sebagai penaja kepada kedua-dua pasukan negeri Johor itu.
 
Antaranya, Johor Corporations, Benalec Holdings, Iskandar Waterfront Holdings, Dijaya Corp, Berjaya Group, Mutiara Motors dan Grand Paragon. - Bernama

No comments:

Post a Comment